Jenazah lelaki kes jangkitan COVID-19 di Tawau selamat dikebumikan

Ahli keluarga serta rakan jemaah ahli tabligh yang turut hadir dilarang menghampiri kawasan perkuburan, sehingga selesai pengebumian.

Jenazah lelaki kes jangkitan COVID-19 di Tawau selamat dikebumikan | Astro Awani
Jenazah mangsa kes ke-152 COVID-19 yang meninggal dunia pada jam 6.27 petang Jumaat di Hospital Besar Tawau, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Pasir Putih di sini, pada jam 10.30 malam tadi.

Ketibaan jenazah di tanah perkuburan dikawal rapi pihak polis.

Ahli keluarga serta rakan jemaah ahli tabligh yang turut hadir dilarang menghampiri kawasan perkuburan, sehingga selesai pengebumian.

Proses penguburan jenazah disempurnakan sepenuhnya oleh lima petugas khas dari hospital yang berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Mangsa, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 58 tahun, merupakan kes COVID-19 daripada kluster jemaah tabligh.


Dia dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac lalu kerana mengalami simptom penyakit itu.

Kesihatannya semakin merosot ketika menjalani rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.27 petang Jumaat.

Ini adalah kematian ketiga melibatkan COVID-19 di Malaysia selepas kes di Sarawak dan Johor.