JBPM sediakan khidmat lori bantu pemindahan pesakit seberat 200kg

JBPM Kedah menerima panggilan bantuan kecemasan daripada pihak hospital untuk membantu membawa pesakit melalui khidmat khas.

Sebahagian daripada tenaga perubatan yang membantu proses pemindahan pesakit. -  JBPM | Astro Awani
Seorang pesakit kritikal yang mempunyai berat badan melebihi 200 kilogram (kg) terpaksa mendapatkan bantuan khas sewaktu dipindahkan dari Hospital Jitra ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Pemindahan pesakit lelaki berusia 30-an yang diserang jangkitan paru-paru itu perlu menggunakan khidmat sebuah lori utiliti daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Kedah, berikutan keadan fizikalnya.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan bantuan kecemasan daripada pihak hospital untuk membantu membawa pesakit melalui khidmat khas.

Katanya, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan dibantu enam orang kakitangan hospital berjaya mengangkat pesakit yang dalam keadaan kritikal itu ke dalam lori dan terus di hantar ke HSB di Alor Setar.