Jangan mudah terpedaya pengemis ambil kesempatan - Mufti Melaka

Umat Islam dinasihat tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik segelintir pihak yang mengambil kesempatan meminta sedekah.

Umat Islam dinasihat tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik segelintir pihak yang mengambil kesempatan meminta sedekah khususnya pada bulan Ramadan. - Gambar Fail | Astro Awani
Umat Islam dinasihat tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik segelintir pihak yang mengambil kesempatan meminta sedekah khususnya pada bulan Ramadan.

Mufti Negeri Melaka, Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin berkata, biarpun umat Islam digalakkan bersedekah pada bulan mulia ini, tetapi disebabkan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab, dikhuatiri dana tidak sampai kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, mengambil kesempatan melakukan penipuan dilarang agama dan hukumnya adalah haram.

Pelbagai agensi agama yang bertauliah antaranya Majlis Agama Islam Melaka dan orang ramai sedia maklum mengenai tanggungjawab institusi berkenaan berperanan membantu kumpulan yang memerlukan.

"Dari segi bantuan-bantuan daripada pihak khusus agensi agama MAIM dan sebagainya sebenarnya kita ada peruntukan untuk membantu mereka.

Sememangnya mereka ini tergolong golongan susah bukan sahaja miskin barangkali menghadapi kecacatan, sakit dan sebagainya. Memang ada peruntukan khusus bantu mereka melalui asnaf zakat dan kita terbuka kepada khusus masyarakat Islam Melaka dan kita memang ada sediakan peruntukan itu dan boleh memohon bila-bila masa,” kata Dr Mohd Mohadis apabila ditemui di pejabatnya di Bukit Palah.

Katanya, umat Islam sewajarnya menjadi golongan penyumbang dan bukannya gemar meminta sedekah untuk meneruskan kehidupan.

Manakala, bantuan zakat juga tidak bermakna diberikan secara berterusan sebaliknya penerima yang berkeupayaan berdikari akan dibantu dari aspek kemahiran demi memajukan taraf kehidupan.

Dalam perkembangan lain, umat Islam perlu memahami ajaran Islam sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sekiranya terdapat kemusykilan agama, perlu segera merujuk kepada pihak berkuasa.

"Umat Islam perlu memahami ajaran Islam sebenar berdasarkan akidah Jamaah dan seterusnya. Sekiranya terdapat apa-apa kemusykilan agama rujuk kepada pihak yang berkuasa. Pihak berkuasa agama jangan mudah terpengaruh sesuatu ajaran janjikan sesuatu yang melanggari ajaran sebenarnya adalah salah dan boleh menjerumus kita ke dalam kancah pencemaran pegangan akidah,” kata Dr Mohd Mohadis.

Terdahulu, pihak berkuasa agama negeri berjaya mengesan kegiatan kumpulan ajaran mirip Panji Langit di Jasin dua tahun lalu dan beberapa fahaman seperti Syiah dan IS dikatakan adalah terkawal.