Isu surat: Laporan SPRM dibuat terhadap Lim Guan Eng dan Tommy Thomas

Laporan dibuat Muhsin Abd Latif dan Mohamad Amin Abdul Kadir susulan dakwaan berlakunya salahguna kuasa di antara kedua-dua individu tersebut.

Aktivis masyarakat Mohsin Abdul Latif menunjukkan dokumen sebelum membuat laporan terhadap seorang bekas menteri dan bekas peguam negara kerana didakwa melakukan salah guna kuasa ketika dalam kerajaan. - Foto BERNAMA | Astro Awani
Dua aktivis masyarakat hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Laporan dibuat Muhsin Abd Latif dan Mohamad Amin Abdul Kadir susulan dakwaan berlakunya salahguna kuasa oleh kedua-dua individu tersebut.

Menurut Muhsin, beliau tampil membuat laporan bagi membolehkan SPRM menyiasat berhubung sekeping surat yang didakwa di tulis bekas menteri tersebut kepada bekas peguam negara yang didakwa wujudnya campur tangan di dalam urusan perundangan negara.

"Setelah membaca surat tersebut saya berpendapat keputusan Tommy dalam hal ini telah dipengaruhi. Sebab apa mantan Menteri Kewangan ini perlu menghantar surat kepada Tommy Thomas?

"Sedangkan Tommy Thomas ini seorang Peguam Negara. Justeru itu hari ni saya ke SPRM untuk membuat laporan SPRM berkenaan isu ini," kata Muhsin ketika ditemui di sini hari ini.

Laporan dibuat di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.