Isteri baru habis pantang merintih, merayu minta suami dilepaskan

Wanita malang menangis teresak-esak merayu minta polis bebaskan suaminya.

Isteri yang baru habis berpantang menangis melihat tangan suaminya yang digari untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. - Gambar PDRM | Astro Awani
LANGKAWI:Seorang wanita yang baru habis pantang terkejut apabila suaminya ditahan polis kerana terbabit dengan dadah dalam serbuan di rumah mereka di Taman Nilam, dekat Langkawi.

Wanita berusia 28 tahun itu menangis teresak-esak kerana ketika serbuan dilakukan pukul 8 pagi tadi, dia bersama suami dan tiga anak mereka yang berusia antara tiga bulan hingga enam tahun sedang bersiap-siap untuk ke klinik.

Puas dia merayu meminta suaminya dilepaskan kerana bimbang bagaimana mahu meneruskan kehidupan dengan terpaksa menjaga anak-anak seorang diri.

Lebih malang lagi, dia tidak bekerja dan akan berhadapan dengan kesulitan untuk melunaskan bayaran sewa rumah selain membeli susu anak.

Tambah meruntun hati apabila dua daripada anaknya turut sama menangis melihat bapa mereka ditahan oleh polis dengan tangan bergari.

Sebelum dibawa ke balai, lelaki berkenaan sempat mencium anak-anak dan isterinya menyebabkan suasana bertambah pilu.

"Tiada siapa (untuk bergantung hidup), tiada siapa nak bayar sewa rumah, saya tiada tempat berharap Encik. Saya tiada siapa (dalam hidup), harap dia (suami) sahaja, saya tak boleh bekerja, anak kecil," kata wanita malang itu merayu meminta belas dan ihsan daripada anggota polis yang menahan suaminya.



Lelaki berusia 28 tahun itu memberi alasan terpaksa mengambil dadah jenis syabu sejak Mac lalu yang didakwa memberi tenaga kepadanya khususnya ketika menangkap ikan di laut selain berupaya menghilangkan rasa mengantuk.

Katanya, pada awalnya dia sekadar mencuba syabu selepas dicadangkan oleh rakannya yang akhirnya menyebabkan dia ketagih.

"Dulu ini kena (ambil dadah) dah lama lepas itu insaf tak buat dah, kira dah berhenti... (lebih-lebih lagi) sebab isteri baru bersalin anak, memang nak berhenti terus," kata lelaki itu.

Menurutnya lagi, dia keluar menangkap ikan sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kehilangan pekerjaan sebagai tukang baiki tangki air di sekitar Langkawi sebelum ini.

Sejak keluar menangkap ikan, dia mula mengambil dadah dengan alasan untuk menghilangkan tekanan disebabkan tiada duit.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan itu dilakuka berdasarkan maklumat yang diterima anggotanya berhubung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan itu.

Beliau berkata, serbuan besar-besaran dilakukan di Pulau Langkawi adalah untuk membanteras kegiatan dadah yang semakin membimbangkan.