IPT akan dibuka semula, tunggu menteri KPT umum tarikh - Ismail Sabri

Mesyuarat Khas bersetuju untuk membuka semula semua institusi pengajian tinggi (IPT) kepada pelajar tempatan antarabangsa.

Tarikh pembukaan IPT akan diumumkan dalam masa terdekat. - Gambar hiasan | Astro Awani
Mesyuarat Khas bersetuju untuk membuka semula semua institusi pengajian tinggi (IPT) kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, bagaimanapun tarikh pembukaan itu akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam masa terdekat.

"Mesyuarat Khas telah meneliti pembentangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pembukaan IPT serta prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa.

"Walau bagaimanapun tarikh pembukaan IPT berserta SOP akan diumumkan oleh KPT, mungkin oleh Menteri KPT sendiri, Datuk Noraini," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Rabu.


Sebelum ini, KPT memaklumkan pengajian di universiti awam akan diadakan melalui dalam talian sehingga 31 Disember 2020.

Bagaimanapun, susulan pembukaan sesi persekolahan kepada pelajar tingkatan lima dan enam, beberapa mahasiswa serta pensyarah menggesa agar kerajaan mempertimbangkan pembukaan IPT memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah berakhir dengan selamat pada 9 Jun lalu.

Ini kerana mereka berpendapat pembelajaran dalam talian tidak kondusif serta kurang efektif kepada mahasiswa terutamanya yang berasal dari luar bandar.