INTEGRITI sambut baik tindakan Kastam gantung 20 ejen penghantaran

Tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia gantung 20 ejen penghantaran disifatkan langkah baik banteras kegiatan seludup menerusi pelabuhan.

INTERGRITI sambut baik tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia | Astro Awani
Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menyambut baik tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menggantung lesen 20 ejen penghantaran di seluruh negara bulan depan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, perkara itu dilihat satu tindakan tegas bagi membendung kegiatan penyeludupan menerusi pelabuhan, sepertimana pendedahan yang dibuat Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy.

"Memetik kata Subromaniam, negara kehilangan RM2.5 bilion dalam bentuk cukai dan duti sepanjang tiga tahun lalu, sebahagian besarnya akibat pemalsuan dokumen oleh ejen-ejen penghantaran.

"Malah tahun ini sahaja lebih RM1 bilion tidak dapat dikutip dengan nilai barangan bernilai RM731 juta diseludup masuk ke Malaysia.

"Penggantungan itu dilaksanakan berdasarkan Sistem Mata Demerit Kastam yang diperkenalkan pada April, dan di bawah kerjasama INTEGRITI, JKDM telah mula mengguna pakai ujian psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP), yang melibatkan proses pengambilan pegawai-pegawai jabatan itu," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Selain itu, tambah Dr Anis, JKDM telah mula mengambil langkah konkrit bagi memupuk budaya berintegriti dalam kalangan anggota jabatan itu dan meningkatkan tadbir urus baik.

"Di bawah kerjasama dengan INTEGRITI, JKDM telah mula mengambil langkah mengguna pakai ujian psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP), yang melibatkan proses pengambilan pegawai-pegawai jabatan itu.

"Langkah ini akan diperluas membabitkan anggota pelaksana selepas ini. MIP satu instrumen yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu. Ia menilai tahap integriti individu dalam dua aspek utama iaitu Kualiti Peribadi dan Pendirian.

"Malah JKDM merupakan antara agensi yang telah mengikuti latihan penggunaan Modul Integriti Agensi Penguatkuasaan yang diterbitkan oleh INTEGRITI tahun lalu," katanya.

Dr Anis menambah, tindakan holistik melibatkan semua peringkat adalah penting bagi melihat keberkesanan usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan mengatasi isu ketirisan pendapatan negara.

Kata beliau, ejen-ejen syarikat tidak boleh lepas tangan dengan hanya mementingkan keuntungan peribadi dan syarikat.

"Kita tidak boleh menyerahkan usaha penghayatan budaya berintegriti kepada JKDM semata-mata, sebaliknya semua pihak berkepentingan dalam urusan kastam negara, khususnya ejen-ejen penghantaran ada peranan masing-masing," katanya.

Tambah beliau, INTEGRITI akan terus menghulurkan sokongan padu kepada pengurusan JKDM dan semua pihak bagi mewujudkan persekitaran berintegriti tinggi, yang akan memanfaatkan setiap rakyat negara ini dalam jangka panjang.