Ini garis panduan pengendalian peperiksaan awam, jadual pentaksiran

Aspek penjarakan sosial, kebersihan serta keselamatan perlu diambil kira ketika mengendalikan peperiksaan awam.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata pihak pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan KPM. | Astro Awani
Kerajaan pada Sabtu telah memberikan persetujuan terhadap Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran yang dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Antara garis panduan tersebut termasuk aspek penjarakan sosial, kebersihan serta keselamatan yang perlu diambil kira ketika mengendalikan peperiksaan awam di dalam dan luar pusat peperiksaan.

Selain itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengendali peperiksaan perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.

“Jika terdapat calon yang bergejala serius, pihak sekolah perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat serta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata pihak pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan KPM.

Guru juga perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala, tambah beliau.