Hukuman mati dan pengurangan jenayah: Kekal atau hapus?

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan tidak ada hubungan antara hukuman mati dan pengurangan kadar jenayah.

Untuk mengurangkan jenayah, hukuman sahaja tidak cukup untuk dijadikan alasan pencegahan jenayah. - Foto Fail | Astro Awani
SEJAK akhir ini, ramai yang membincangkan atau mengulas mengenai hukuman mati bagi sesuatu kesalahan.

Bagi mereka yang pro-hukuman mati, alasan utama bagi mengekalkan hukuman ini adalah untuk mencegah jenayah daripada berlaku dengan menyuntik perasaan takut kepada mereka yang mempunyai bercita-cita untuk melakukan jenayah.

Bagi mereka yang pro-hak asasi manusia atau kumpulan penentang hukuman mati pula, alasan yang sering digunakan adalah hukuman mati melanggar norma-norma hak asasi manusia kerana setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dan kerajaan tidak berhak untuk menarik hak tersebut daripada individu.

Walau apa pun pendapat kita mengenai hukuman mati (sama ada mengekalkan atau menghapuskan), semua hujah dan alasan mesti berpandukan ilmu pengetahuan, bukan emosi semata-mata.

Bila emosi menjadi alasan dan tindakan terburu-buru menjadi ikutan, maka mereka yang tidak bersalah akan menjadi korban.

Hukuman mati

Jika dilihat sejarah peradaban manusia, hukuman mati telah dilaksanakan ke atas pelbagai kesalahan.

Sebagai contoh, Hukum Kanun Melaka secara umum menetapkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh.

Begitu juga dalam kitab-kitab agama yang menetapkan hukuman bunuh bagi kesalahan-kesalahan berat.

Sebagai contoh, dalam Islam, hukuman Qisas ditetapkan bagi kesalahan membunuh di mana salah satunya adalah hukuman mati (Qisas boleh diertikan dengan undang-undang yang membalas atas kesalahan yang dilakukan).

Di Malaysia, dianggarkan banduan dalam penjara yang akan menjalani hukuman mati adalah 930 orang pada tahun 2012 dan jumlah ini meningkat kepada 1,278 orang pada tahun 2019.

Mereka ini melakukan pelbagai kesalahan jenayah dan tidak hanya tertumpu kepada kesalahan membunuh.

Hukuman mati di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu;

(1) kesalahan yang mesti dihukum dengan hukuman mati (hukuman mati mandatori) seperti membunuh, pengedaran dadah; dan

(2) kesalahan yang memberikan budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman seperti menculik dengan tujuan hendak membunuh, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertuan Negeri. Secara prinsip, hukuman mati dikenakan atas kesalahan-kesalahan yang amat berat.

Dalam melaksanakan hukuman mati di Malaysia, hanya satu cara sahaja yang dibenarkan mengikut undang-undang iaitu dengan cara gantung sampai mati.

Seksyen 277 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukan bahawa hukuman mati perlu dilaksanakan dengan digantung lehernya sehingga mati.

Hukuman yang tepat, cepat dan tidak menyakitkan?

Mengapa hukuman gantung sampai mati? Walaupun tidak ada alasan rasmi mengapa hukuman mati di Malaysia hanya tertumpu kepada hukuman gantung, kita dapat merumuskan bahawa hukuman gantung adalah hasil peninggalan daripada British walaupun British sendiri telah menghapuskan hukuman mati pada tahun 1965.

Selain itu, hukuman gantung juga dilihat sebagai hukuman yang “bertamadun” dalam mengakhiri nyawa manusia.

Dalam buku yang ditulis pada tahun 1897 oleh James Berry (salah seorang algojo terkenal dari United Kingdom) bertajuk “My Experiences as an Executioner” menyatakan bahawa gantung sampai mati adalah cara paling berkesan untuk melaksanakan hukuman mati kerana ianya tepat, cepat dan tidak menyakitkan.

Persoalannya, adakah gantung sampai mati “tepat, cepat dan tidak menyakitkan” dalam mengakhiri nyawa seseorang?

Kita tidak mungkin dapat menjawab persoalan ini secara tepat kerana tiada mangsa yang dapat menceritakan pengalaman tersebut.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak kajian yang dijalankan untuk memberikan gambaran bahawa bagaimana hukuman ini dilaksanakan.

Secara saintifik, kematian berpunca daripada hukuman mati berlaku apabila tulang kecil dileher yang dipanggil vetebra serviks kedua (“second cervical vertebra” atau dinomborkan sebagai “C2”) dipatahkan daripada tulang belakang.

Ini menyebabkan kecederaan yang membawa maut dan teknik ini dikenali sebagai “hangman’s fracture”.

Apabila patahnya tulang C2, sesetengah pengkaji menyatakan bahawa di saat inilah kematian adalah tepat, cepat dan tidak menyakitkan.

Walau bagaimanapun, seorang Hakim di Mahkamah Rayuan di Amerika Syarikat pernah menyatakan bahawa setiap pelaksanaan hukuman gantung akan berdepan dengan risiko kematian yang perlahan, sakit dan menyeksakan.

Walaupun terdapat banyak kajian mengenai pelaksanaan hukuman ini, kita hanya akan ambil dua contoh kajian sahaja untuk pemahaman ringkas.

Dalam kajian pada tahun 1992 yang dijalankan ke atas 34 banduan hukuman gantung, hanya 11 banduan yang mati akibat patah tulang leher dan dari jumlah 11 banduan ini, hanya 3 banduan sahaja yang berjaya mendapatkan hangman’s fracture.

Selebihnya (10 banduan yang lain) mati dalam keadaan tercekik atau sesak nafas.

Dalam kajian lain pada tahun 2009, mayat seorang banduan bernama George Kelly yang digali semula tidak mempunyai tanda-tanda hangman’s fracture di bahagian leher.

George Kelly menjalani hukuman mati pada tahun 1950 tetapi dibersihkan daripada kesalahan oleh mahkamah pada tahun 2003.

Oleh itu, penyataan bahawa kematian bagi hukuman gantung adalah tepat, cepat dan tidak menyakitkan hanyalah spekulasi yang sukar dibuktikan sama ada dari segi teori dan saintifik.

Hukuman mati boleh mencegah jenayah?

Secara umum, kumpulan teori pencegah menyatakan hukuman boleh mencegah jenayah dan boleh menjauhkan orang lain daripada membuat jenayah.

Dalam konteks hukuman mati pula, ramai yang menyatakan bahawa jika penjenayah mengetahui bahawa hukuman mati akan dikenakan jika dia melakukan jenayah, maka ini akan menghalang mereka daripada melakukan sesuatu jenayah.

Secara ringkas, pendapat mereka menyatakan hukuman mati boleh mencegah jenayah.

Persoalannya adalah adakah “hukuman mati boleh mencegah jenayah” disokong oleh kajian-kajian atau dapat dibuktikan?

Dalam satu kajian dilakukan oleh Prof Isaac Ehrlich pada tahun 1975, beliau mengkaji hubungan antara kadar kes bunuh dan pelaksanaan hukuman mati di Amerika Syarikat dari tahun 1933 hingga 1969.

Beliau berpendapat bahawa satu pelaksanaan hukuman mati setahun dapat mengurangkan 7 atau 8 kes bunuh.

Namun, kajian ini dikritik hebat oleh ahli-ahli akademik termasuk kaedah kajian yang lemah, dan penggunaan data dan statistik yang tidak tepat.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan tidak ada hubungan antara hukuman mati dan pengurangan kadar jenayah.

Contohnya, kajian pada tahun 1999 yang mengkaji pelaksanaan hukuman mati dan kadar kes bunuh di Texas.

Texas dipilih kerana Texas telah melaksanakan banyak hukuman mati berbanding negeri-negeri yang lain dalam Amerika Syarikat.

Kajian ini mendapati jumlah pelaksanaan hukuman mati tidak mempengaruhi kadar kes bunuh di negeri itu.

Apa yang ingin ditunjukkan di sini adalah hasil-hasil kajian tidak dapat membuktikan secara jelas bahawa terdapat hubungan antara hukuman mati dan pengurangan kadar jenayah.

Untuk mengurangkan jenayah, hukuman sahaja tidak cukup untuk dijadikan alasan pencegahan jenayah.

Dikekalkan atau dihapuskan hukuman mati

Persoalan ini boleh dijawab hanya setelah kajian yang mendalam dibuat dan penyelidikan secara profesional dan adil dijalankan.

Sama ada hukuman mati patut dikekalkan atau dihapuskan, ianya perlu diperhalusi dengan kajian yang mendalam seperti:

(1) data-data yang tepat untuk mengkaji pelaksanaan hukuman mati dan kadar jenayah selama 5 hingga 10 tahun;

(2) soal selidik untuk mendapatkan pandangan pihak-pihak yang terkesan;

(3) kesan kepada masyarakat jika hukuman mati dikekalkan atau dihapuskan.

Sehingga kita dapat melakukan kajian dalam negara secara terperinci, sukar bagi sesiapa untuk menjawab persoalan di atas.

*Artikel ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada pembaca mengenai hukuman mati agar maklumat yang sedikit ini dapat meningkatkan sikap ingin tahu dan seterusnya pembaca akan mencari bahan-bahan bacaan dan kajian mengenai topik ini. Artikel ini adalah hasil kajian penulis di University of Cambridge semasa mengikuti kursus Sarjana dalam bidang kriminologi dan diterbitkan di sini hanya sebahagian sahaja.


* Razman Abdul Rahim merupakan penasihat undang-undang di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Beliau merupakan graduan undang-undang dari University of Cambridge dan University of Durham serta memperoleh Bar-at-Law dari Inner Temple, London.

**
 Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.