HAZMAT giat jalankan operasi sanitasi di Parlimen

Operasi itu dijalankan sebagai persediaan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 15 hari mulai esok, selepas sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei lepas.

Operasi sanitasi dijalankan sebagai persediaan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 15 hari mulai esok. - Gambar Twitter Parlimen Malaysia | Astro Awani
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur giat menjalankan operasi sanitasi di Blok Utama, Parlimen Malaysia yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurut ciapan di akauan Twitter rasmi Parlimen Malaysia, operasi itu dijalankan sebagai persediaan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 15 hari mulai esok, selepas sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei lepas.

"Operasi itu diketuai Penguasa Bomba Kanan I, Khairul Azuwan Ibrahim dan dibantu seramai 40 anggota dari balai yang sama," katanya di sini pada Ahad.


Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata, sesi persidangan berkenaan ditangguhkan selepas sesi pembukaannya, dan berlangsung hingga 27 Ogos dengan mengambil kira keadaan semasa terutama wabak COVID-19.