Hasrat bertunang tidak kesampaian, dia pergi dulu...

Muhammad Hafiz maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat di Jalan Paip, Puncak Alam, Selangor.

Nik Zah Mamat tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan anaknya yang maut dalam kemalangan di Puncak Alam. | Astro Awani
Hasrat seorang lelaki untuk bertunang dengan gadis pilihannya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Puncak Alam.

Menceritakan perkara itu, ibunya, Nik Zah Mamat, 59, berkata anaknya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) terbabit dalam kemalangan ketika bekerja sebagai penghantar makanan pada 19 Mei lalu.

Muhammad Hafiz Baharudin, 26, yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik itu, bekerja sebagai penghantar makanan untuk membantu keluarga sementara mendapat pekerjaan lebih baik, katanya.

"Saya terkilan kerana arwah tidak sempat menunaikan hasrat untuk bertunang dengan gadis pilihannya yang telah pun dipersetujui oleh ahli keluarga.

"Dia anak yang baik, kali terakhir arwah telefon pada pagi sebelum dia kemalangan. Seperti biasa, dia meminta maaf dan minta supaya saya doakan yang terbaik untuk dirinya.

"Dia juga beritahu tahun ini tidak boleh pulang berhari raya di kampung kerana perlu patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Nik Zah berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 oleh Skuad Perkeso Prihatin di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jertih di sini.

Dia juga menerima pencen penakat berjumlah RM436.90 sebulan untuk seumur hidup.

Penyerahan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim.

Dalam kejadian 19 Mei lalu, Muhammad Hafiz maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat di Jalan Paip, Puncak Alam, Selangor.

Sementara itu, Nik Zah berkata dia berhasrat menggunakan wang tersebut untuk upah haji bagi pihak anaknya itu selain menggantikan batu nisan di kubur arwah.