Geng curi kambing susu tumpas

Empat pekerjanya juga telah diikat dan mengalami kecederaan dileher dan tangan.

Suspek mengaku telah menjual 42 ekor kambing dengan anggaran hasil jualan sebanyak RM20,000 ke RM30,000. - Foto PDRM | Astro Awani
Polis berjaya menahan sekumpulan lima lelaki yang mencuri 52 ekor kambing dari sebuah ladang kambing, di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Kesemua lelaki berusia di antara 23 hingga 61 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Butterworth dan Bukit Mertajam bermula jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan kelima-lima suspek dibuat selepas pemilik ladang berusia 33 tahun membuat laporan polis memaklumkan ladang kambingnya telah dipecah masuk dan 52 ekor kambing susu yang bernilai RM50,000 telah hilang Sabtu lepas.

Malah empat pekerjanya juga telah diikat dan mengalami kecederaan di leher dan tangan.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sebuah kenderaan jenis Hilux dan menemui semula 10 ekor kambing, kunci kereta, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM700. - Foto PDRM

Siasatan mendapati, terdapat lapan suspek terbabit dalam kegiatan ini dan lima daripadanya telah ditahan.

Katanya, kecurian kambing didalangi seorang lelaki berusia 61 tahun dari Padang Serai Kedah yang mengarahkan suspek berusia 23 tahun dari Bukit Mertajam mencuri kambing berkenaan dengan menyewa lori sebelum menyerahkan semua kambing kepada suspek berusia 26 tahun untuk menjual kambing yang dicuri itu.

Nik Ros Azhan berkata, mereka mengaku telah menjual 42 ekor kambing dengan anggaran hasil jualan sebanyak RM20,000 ke RM30,000.

"Daging kambing itu kemudiannya di jual dengan harga RM42 sekilogram di pasar Kulim, Kedah."

"Jelasnya, sebelum itu dalang utama sudah memperoleh memperoleh deposit jualan kambing sekitar RM4,000," katanya di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sebuah kenderaan jenis Hilux dan menemui semula 10 ekor kambing, kunci kereta, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM700.

Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan dan polis kini masih memburu tiga lelaki suspek yang masih bebas.