Dua polis cedera, penyeludup ketum rempuh kereta pengiring Menteri Pelancongan

Dua anggota polis cedera dirempuh oleh kenderaan penyeludup ketum yang sedang dalam perjalanan ke tembok sempadan.

Penyeludup berusia 43 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai membawa lebih 500 kilogram daun ketum. - Gambar ihsan PDRM | Astro Awani
Dua anggota polis yang mengiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri cedera selepas dilanggar pacuan empat roda di Felda Mata Ayer, di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku tengah hari tadi ketika mangsa sedang mengiringi menteri terbabit dalam lawatan ke Perlis dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh penyeludup ketum.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, penyeludup berusia 43 tahun itu dipercayai membawa lebih 500 kilogram daun ketum sedang dikejar oleh anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, penyeludup terbabit sedang dalam perjalanan ke tembok sempadan sebelum terserempak dengan pasukan keselamatan yang sedang melakukan rondaan.