Dua mangsa baharu positif COVID-19, Sarawak kini punyai 555 kes keseluruhan

Kes jangkitan dilaporkan di dua kawasan iaitu Kuching dan Samarahan.

JPBN sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak membuat persediaan sekiranya terdapat gelombang kedua virus COVID-19 di negeri itu. -Gambar hiasan | Astro Awani
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan terdapat pertambahan dua kes baharu positif COVID-19 pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 555 kes di negeri ini.

“Dua kes tersebut dilaporkan di Kuching dan Samarahan. Manakala, terdapat 26 individu baharu yang disenaraikan sebagai individu dalam siasatan (PUI).

“17 kes pula masih menunggu keputusan makmal,” kata laporan berkenaan yang dikeluarkan pada Sabtu tanpa mendedahkan maklumat mengenai mangsa jangkitan.

Infografik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada Sabtu.


Kenyataan itu turut menyebut, JPBN berikrar untuk terus mengawal serta memantau penularan virus COVID-19 di negeri itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, JPBN turut melaporkan terdapat lebih 5,000 permohonan pergerakan rentas daerah yang telah diterima oleh polis Sarawak setakat Sabtu.

Untuk rekod, Sarawak masih memperhalusi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) beberapa sektor menjelang tarikh tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa ketiga pada 9 Jun ini.