Dua isu berhubung RTS dijangka selesai minggu depan - Mohamed Azmin

Kementerian Pengangkutan memberi jaminan baki dua isu berbangkit berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura dijangka dapat diselesaikan minggu depan.

Azmin menghadiri perbincangan meja bulat industri di Johor Bahru bersama Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad. | Astro Awani
Kementerian Pengangkutan memberi jaminan baki dua isu berbangkit berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura dijangka dapat diselesaikan minggu depan sebelum keseluruhan proses rundingan mengenainya dimuktamadkan akhir bulan ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata jaminan itu diberikan sewaktu beliau menghubungi pihak kementerian terbabit, pagi Sabtu.

Beliau berkata kedua-dua negara sebelum ini menghadapi sebanyak 222 isu berbangkit berhubung projek berkenaan, namun 220 daripadanya berjaya diselesaikan manakala baki dua isu pula bakal diselesaikan pada minggu depan.

Difahamkan jawatankuasa teknikal akan bersidang pada 13 Julai ini untuk selesaikan dua isu penting itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat industri di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Diminta mengulas lanjut mengenai dua isu yang belum diselesaikan itu, Mohamed Azmin berkata beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan kerana perkara itu sedang dibincangkan.

"Isu itu masih menunggu kelulusan daripada kedua-dua negara dan semasa saya menghubungi pihak Kementerian Pengangkutan pagi ini, pihak kementerian memberi jaminan kedua-dua pihak dijangka dapat menyelesaikan (baki isu) kerana kita diberi sehingga akhir Julai untuk memuktamadkan keseluruhan proses rundingan.

"RTS ini penting untuk memberi kemudahan kepada rakyat Johor yang terpaksa menyeberangi ke Singapura untuk tujuan pekerjaan dan kita memang dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata perkembangan itu merupakan berita baik bagi rakyat negeri ini kerana RTS akhirnya bakal menjadi kenyataan.

"Ia akan menjadi pencetus perubahan untuk Johor mewujudkan rantaian bekalan yang melibatkan pelbagai sektor," katanya.

Projek RTS sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands di Singapura adalah projek yang dinanti-nantikan kerana bakal membolehkan kira-kira 10,000 penumpang khususnya rakyat Malaysia merentasi Singapura untuk bekerja di republik berkenaan.

Pembinaan projek sepatutnya bermula tahun lepas, namun tertangguh beberapa kali.

-- BERNAMA