Dedah laporan IRC, rakyat perlu mentadbir sama - Ambiga

Datuk Ambiga Sreenevasan, dalam satu tulisan beliau sempena Hari Kebangsaan ke-61 pada Jumaat, menyatakan semua cadangan reformasi perlu melalui konsultasi umum.

AMBIGA: Kita perlu ingat kerajaan PH terbentuk daripada kehendak rakyat yang melihat keperluan kepada perubahan demi menyelamatkan negara yang tercinta. - Gambar fail | Astro Awani
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mendedahkan laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) kepada umum.

Membuat gesaan itu, Datuk Ambiga Sreenevasan selaku ahli IRC dalam satu tulisan beliau sempena Hari Kebangsaan ke-61 hari ini, menyatakan semua cadangan reformasi perlu melalui konsultasi umum.

"Perdana Menteri menyatakan bahawa laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan didedahkan kepada umum. Kita memahami kenapa laporan CEP tidak dapat didedahkan kepada umum oleh kerana terdapat informasi sensitif mengenai ekonomi dan sebagainya, namun laporan IRC tidak sebegitu.

"Kita perlu ingat kerajaan PH terbentuk daripada kehendak rakyat yang melihat keperluan kepada perubahan demi menyelamatkan negara yang tercinta. Kita perlu yakin dengan mereka.

"Biarlah rakyat menjadi sebahagian daripada proses perubahan. Saya rasakan mereka mempunyai hak tersebut.

"Adalah penting bagi kita untuk mendapatkan pandangan orang ramai oleh kerana jawatankuasa berkemungkinan terlepas pandang idea yang boleh menambahbaik cadangan," kata Ambiga.

Beliau menyatakan bahawa meskipun kerajaan PH menjanjikan perubahan, hak asasi individu masih dicabuli kerana masih terdapat kes-kes seperti pernikahan bawah umur di Kelantan dan hukuman sebatan ke atas dua wanita di Terengganu.

Beliau di dalam tulisannya turut menyatakan kekesalan kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan kepincangan ke atas hak asasi manusia.

Meskipun beliau mengalu-alukan kerajaan PH kerana membawa beberapa perubahan yang dikehendaki oleh rakyat, Ambiga berkata beliau tidak setuju dengan pengekalan undang-undang yang melanggar hak asasi manusia.

"Akta Hasutan diwartakan pada 1948 dan Akta Rahsia Rasmi pada tahun 1972 - kedua-dua akta ini tidak ada tempat di dalam satu masyarakat yang progresif pada tahun 2018.

"Penalti gantung sehingga mati digubal bagi menangani masalah serius pembunuhan dan pengedaran dadah - namun bukti menunjukkan hukuman ini tidak mengurangkan jenayah-jenayah ini.

"Saya sedih mendengar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ingin mengekalkan OSA. Ini adalah akta yang paling sempurna bagi kerajaan menyembunyikan kesalahan mereka.

"Atas dasar transparensi, kerajaan perlu membuang OSA. Rahsia negara harus disimpan dengan selamat tetapi OSA terlalu luas," kata Ambiga.

Selanjutnya, Ambiga menyatakan sekiranya keluhuran undang-undang perlu dihormati, satu keseimbangan antara keselamatan negara dan hak individu bagi mendapatkan keadilan.

Ambiga menyatakan hanya kerajaan yang tidak telus akan mempunyai paranoia sehingga mengekalkan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA).

"Kerajaan ini mesti membuang mentaliti bahawa mereka tahu lebih baik dari rakyat. Kerajaan perlu selesa mendapatkan pendapat umum. Buang cara lama. Kita perlu mentadbir negara dengan cara baharu sekarang," kata Ambiga.



*Artikel sepenuhnya boleh dibaca di www.awanireview.com.