COVID-19: Uggah dedah pernah jalani kuarantin pada peringkat awal jangkitan

Uggah berkata, memang disyaratkan untuk menjalani kuarantin diri selama 14 jika anda mempunyai kontak rapat atau kontak kasual semasa mesyuarat atau berada berdekatan dengan kes positif.

Uggah menjelaskan, individu yang menjalani kuarantin bukan bermakna sudah terkena jangkitan tetapi sebagai langkah berjaga-jaga. Gambar fail | Astro Awani
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendedahkan beliau telah menjalani kuarantin diri pada peringkat awal berlakunya jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak berkata demikian semasa diminta mengulas keputusan Jabatan Kesihatan mengeluarkan perintah menjalani kuarantin diri kepada rakan sejawatnya Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Rabu.

"Saya juga pernah menjalani kuarantin... pada peringkat awal (jangkitan) apabila kes positif nombor 33 datang ke Kuching. Memang disyaratkan untuk menjalani kuarantin diri selama 14 jika anda mempunyai kontak rapat atau kontak kasual semasa mesyuarat atau berada berdekatan dengan kes positif," katanya.

Beliau berkata orang ramai perlu faham bahawa prosedur itu bukan menunjukkan individu yang menjalani kuarantin sudah terkena jangkitan tetapi sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk pemantauan oleh pihak berkuasa perubatan.

"Jangan kata dia kena jangkitan COVID-19. Itu kata-kata yang salah. Ia sebenarnya kuarantin. Tiada apa-apa simptom langsung," katanya.

Terdahulu pada Khamis, Bernama diberitahu oleh Saiful Bahari Abdul Ghani iaitu pegawai media Awang Tengah bahawa perintah kuarantin diri yang dikeluarkan terhadap Awang Tengah adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan tidak berkaitan dengan keadaan kesihatannya.

Beliau berkata Awang Tengah memberitahunya bahawa beliau sihat dan duduk di rumah berikutan perintah kuarantin itu dan telah meminta Saiful Bahari untuk menyiarkan statusnya itu di laman Facebook peribadinya (Saiful Bahari).

"Dalam perbualan dengannya, beliau memberitahu saya bahawa perintah kuarantin dikeluarkan berikutan seorang daripada pegawai yang menghadiri mesyuarat yang dipengerusikannya pada 27 Mac dilaporkan positif COVID-19," katanya.

Menurut Saiful Bahari, mesyuarat itu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran pengamal media dan Awang Tengah hanya mengadakan sidang akhbar tiga hari kemudian di lokasi yang berbeza.

"Berita mengenai beliau perlu menjalani kuarantin mungkin telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal media yang menghadiri sidang akhbar itu dan mereka boleh menjalani pemeriksaan kesihatan dan menjalani kuarantin diri, demi untuk keselamatan," katanya.

-- BERNAMA