COVID-19: Seorang pelajar pengajian jarak jauh UiTM disahkan positif

Pelajar tersebut yang kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur dijangkiti melalui bapanya yang turut didapat positif COVID-19.

COVID-19: Seorang pelajar pengajian jarak jauh UiTM disahkan positif | Astro Awani
Seorang pelajar pengajian jarak jauh Universiti Teknologi Mara (UiTM) disahkan positif COVID-19, kata Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Ir Mohd Azraai Kassim.

Mohd Azraai berkata pelajar tersebut yang kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur dijangkiti melalui bapanya yang turut didapat positif COVID-19.

Jelas beliau, bapa pelajar berkenaan mendapat jangkitan tersebut melalui saudaranya yang menyertai Ijtima Tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini.

"Pelajar tersebut telah menghadiri kuliah pada 15 Mac dan apabila mendapati dirinya positif COVID-19, beliau telah memaklumkan kepada pensyarah mengenai keadaannya yang dijangkiti.

"Sehubungan dengan itu, pihak UiTM melalui Pusat Gerakan COVID-19 dan Pusat Kesihatan UiTM telah memaklumkan berkaitan keadaan pelajar tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Azraai juga memaklumkan pihak UiTM telah mengenal pasti kontak-kontak rapat pelajar tersebut dan telah menjalani saringan di Pusat Kesihantan Kepong.

UiTM juga jelas beliau telah melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di kelas dan kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan virus tersebut tersebar.

"Setakat ini, keseluruhan kes pelajar yang telah disahkan positif COVID-19 adalah seramai tiga orang dan sedang menjalani rawatan," katanya lagi.

Beliau berkata semua pelajar dan kakitangan UiTM tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana semua langkah pencegahan penyakit berjangkit telah dilakukan.