COVID-19: Semua masjid dan surau di Selangor diarah baca Qunut Nazilah

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan penularan jangkitan COVID-19 yang sedang melanda negara dan semakin meningkat ketika ini.

MOHD SHAHZIHAN: Sebagai seorang Islam, kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan Allah supaya melindungi negara daripada virus berkenaan. - Gambar fail | Astro Awani
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu agar membaca Qunut Nazilah yang terdapat dalam doa qunut ketika solat Subuh bagi memohon perlindungan Allah daripada jangkitan COVID-19.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad, dalam satu kenyataan, berkata arahan itu dikeluarkan berikutan penularan jangkitan COVID-19 yang sedang melanda negara dan semakin meningkat ketika ini.

"Susulan penularan jangkitan itu, seluruh pegawai jawatankuasa masjid dan surau di Selangor hendaklah sentiasa peka dengan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penyebaran virus berkenaan sepertimana yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Sebagai seorang Islam, kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan Allah supaya melindungi negara daripada virus berkenaan.

"Bacaan Qunut Nazilah dalam doa qunut solat Subuh dilakukan sehingga penularan jangkitan itu diatasi sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA