COVID-19: Sembilan kes baharu, tiada kematian

Sembilan kes baharu COVID-19 direkodkan, setakat tengah hari ini, membabitkan tujuh kes import dan dua penularan tempatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini adalah 213 kes. | Astro Awani
KUALA LUMPUR :Sembilan kes baharu COVID-19 direkodkan, setakat tengah hari ini, membabitkan tujuh kes import dan dua penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, pertambahan kes positif itu menyaksikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini telah mencecah 8,985 kes.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 213 kes.

"Dua kes penularan dalam negara adalah membabitkan seorang warganegara tempatan daripada Kluster Sivagangga di Kedah manakala seorang lagi melibatkan warga asing daripada Kluster Bukit Tiram di Selangor.

"Sementara tujuh kes import katanya dari India, Jepun, Switzerland, Filipina, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, tiada kematian akibat COVID-19 dicatatkan, hari ini, dengan jumlah kumulatifnya kekal 125 kes.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mencatatkan tiga kes yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad, dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 8,647 (96.2 peratus).

Sehingga ini katanya, terdapat dua individu yang sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk salah seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.