COVID-19: Satu kes baharu Kluster Bukit Bintang

Kluster tersebut kini menjangkiti 11 kes melibatkan 10 warganegara Bangladesh dan satu warganegara Malaysia.

Kes positif baharu tersebut telah dikesan hasil saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin. - Bernama | Astro Awani
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat pertambahan satu kes bagi 'Kluster Bukit Bintang' di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut kini menjangkiti 11 kes melibatkan 10 warganegara Bangladesh dan satu warganegara Malaysia.

"Setakat ini, seramai 304 orang telah disaring, di mana 204 orang adalah bukan warganegara dan 100 adalah warganegara Malaysia. Daripada jumlah ini, 293 orang adalah negatif COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes positif baharu tersebut telah dikesan hasil saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.

Ujarnya, kesemua mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, manakala kes positif COVID-19 dimasukkan ke hospital.

Justeru, jelasnya ia tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat.