COVID-19: Pemimpin UMNO dan Pas bantah keputusan benarkan syarikat arak beroperasi

Menurut Annuar keputusan membenarkan keputusan tersebut adalah tidak selari dengan keputusan yang telah diputuskan kerajaan.

Menerusi akaun Twitternya, Annuar Musa membidas keputusan KPDNHEP membenarkan sebuah syarikat minuman keras beroperasi ketika PKP. - Gambar fail. | Astro Awani
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membidas keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi pengecualian kepada sebuah syarikat minuman keras untuk beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu, pengecualian tersebut adalah tidak selari dengan keputusan yang telah diputuskan kerajaan sebelum ini.

"Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan.Tindakan perlu diambil segera. Period (habis perkara)," katanya di laman Twitter rasminya.

Sebelum ini tular sepucuk surat daripada KPDNHEP memberi pengecualian kepada sebuah syarikat minuman keras untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

Surat bertarikh 31 Mac itu menyatakan, pihak kementerian mendapati permohonan daripada syarikat tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan kerana dikategorikan dalam operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

epucuk surat dari KPDNHEP memberi pengecualian kepada sebuah syarikat minuman keras untuk beroperasi dalam tempoh PKP ini

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendesak agar keputusan membenarkan syarikat minuman keras itu beroperasi dibatalkan.

"Minta BATALKAN kelulusan operasi Heineken Malaysia. Time (Waktu) Covid-19 ni macam takde (tiada) sensitiviti langsung pegawai atasan kerajaan ni," ciap Muhammad Azri dalam laman Twitter.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan pula menjelaskan umat Islam tersinggung dan membantah pengecualian yang diberikan itu.

Beliau yakin Pas yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan akan mengambil peranan yang wajar agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu serta menarik balik pengecualian tersebut.

"Saya belum pasti apakah surat yang viral itu benar atau tidak, justeru belum ada kenyataan rasmi kerajaan memperakuinya. Namun terdapat dakwaan bahawa syarikat arak berkenaan telah mengesahkan bahawa surat itu benar.

"Jika ia benar, maka saya yakin umat Islam khasnya akan tersinggung dan membantah pengecualian tersebut," tulis beliau di laman Facebooknya.