COVID-19: Pemantauan dan pengawasan di tiga kluster tamat

Pemantauan dan pengawasan di tiga kluster COVID-19 mula tamat pada hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bilangan sampel yang telah diambil daripada kluster Sri Petaling ialah sebanyak 41,468 orang. - Gambar fail | Astro Awani
Pemantauan dan pengawasan di tiga kluster COVID-19 ditamatkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan Kluster Madrasah Ayer Merbau, Kluster Kampung Baru dan Kluster Malayan Mansion.

"Laporan kluster COVID-19 yang telah tamat pemantauan dan pengawasan lebih daripada 28 hari sehingga 1 Jun 2020. Kluster pertama, Madrasah Ayer Merbau,di Jasin, Melaka melibatkan 41 kes dan tiada kes kematian. Kluster Kampung Baru, melibatkan 24 kes dan 1 kematian. Kluster Malayan Mansion melibatkan 13 kes dan tiada kematian," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, bilangan sampel yang telah diambil daripada kluster Sri Petaling ialah sebanyak 41,468 orang.

Manakala, jumlah positif kes COVID-19 daripada kluster tersebut ialah sebanyak 3,373 kes bersamaan dengan 8.13 peratus.

Sementara itu, sebanyak 407 sekolah tahfiz dan madrasah telah melakukan saringan COVID-19.

"Setakat hari ini, 15,329 sampel telah diambil dan daripada jumlah itu, 696 positif COVID-19. Mereka yang positif dan bergejala adalah seramai 97 orang dan 599 tidak bergejala," tambahnya.