COVID-19: Pakej bantuan Sarawakku Sayang akan diteliti ikut keadaan semasa

Kerajaan Sarawak bersedia untuk meneliti Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dari semasa ke semasa dengan mengambil kira rakyat negeri itu yang terkesan akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu, beliau merayu seluruh rakyat Sarawak supaya patuhi arahan PKP dan duduk di rumah. | Astro Awani
Kerajaan Sarawak bersedia untuk meneliti pengagihan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dari semasa ke semasa dengan mengambil kira rakyat negeri itu yang terkesan akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian bagi membantu rakyat yang terkesan sekali gus membolehkan mereka menikmati kehidupan seperti biasa.

"Kita akan memantau secara dekat kesan penularan COVID-19 termasuk pelbagai inisiatif ekonomi.

"Apa yang penting, rakyat yang terkesan dengan wabak ini akan kita bantu. Kita akan memantau pengagihan pakej bantuan sekali gus mencari penyelesaian dan membantu mereka kembali kepada kehidupan biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Keselamatan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Tambah Abang Johari, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac hingga hari ini, penyebaran COVID-19 di Sarawak dilihat stabil.

Sehubungan itu, beliau merayu seluruh rakyat Sarawak supaya patuhi arahan PKP dan duduk di rumah.