COVID-19: Malaysia perlu bersedia lakukan 'total reset' - Mohamad Hasan

Mohamad berkata sebelum ini orientasi ekonomi negara adalah bergantung kepada kebolehsaingan dan pendapatan tinggi

Menurut Mohamad, sebuah Malaysia yang baharu boleh dijayakan dengan semangat seluruh rakyat yang menuju ke arah itu. - Gambar fail | Astro Awani
Malaysia perlu bersedia melakukan “total reset” dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya dalam berdepan kesan krisis wabak COVID-19, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Mohamad, sebelum ini orientasi ekonomi negara bergantung kepada kebolehsaingan dan pendapatan tinggi, tetapi keutamaan masa kini ialah membangunkan ketahanan ekonomi.

"Kita mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan ‘crisis proof’ untuk kelangsungan ekonomi kita.

"Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari.

"Semua ini memerlukan inovasi, pemikiran luar kelaziman, dan pendekatan ekonomi yang luar biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau juga dalam masa sama menyarankan agar tumpuan diberikan untuk merombak secara radikal sistem penyampaian kerajaan.

Mohamad berkata, sudah tiba masanya pentadbiran negara beralih kepada kerajaan digital secara total dan memastikan sistem penyampaian negara tidak boleh lumpuh ketika berhadapan dengan krisis.

"Contoh yang paling nyata ialah apabila sekolah terpaksa ditutup dan bagaimana kita tidak boleh beranjak ke online mode dengan pantas dan segera," katanya lagi.

Selain itu, Mohamad turut menyarankan agar Malaysia bersiap sedia menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional, yang memerlukan pemahaman baharu.

“Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan ‘ad hoc’. Kesiapsiagaan kita mesti mendahului masa,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan sebuah pusat kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti di Amerika Syarikat ditubuhkan di Malaysia, sebagai satu keperluan nasional.

Menurut Mohamad, sebuah Malaysia yang baharu boleh dijayakan dengan semangat seluruh rakyat yang menuju ke arah itu.

"Malaysia mesti kembali yakin kepada setiap warganya dan menggelorakan keperkasaan jiwa dan raga mereka untuk menjayakan Malaysia pasca pandemik ini.

“Insyallah, dengan ikhtiar dan keperkasaan semangat seluruh bangsa Malaysia, akan timbul fajar baru dan berlalulah segala gelap dan gelita,” katanya.