COVID-19: Malaysia catatkan 4 kes baharu, tiada penularan tempatan

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 8,729 kes.

DR NOOR HISHAM:  Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 83 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. - Astro AWANI | Astro Awani
Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat empat kes baharu positif jangkitan COVID-19 di negara ini pada Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 8,729 kes.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 83 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Kesemua empat kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga orang warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara,” katanya dalam sidang media berkaitan perkembangan COVID-19 di Malaysia pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada Selasa.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,524 kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tiada sebarang kematian berkaitan COVID-19 direkodkan dan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.