COVID-19: KKM nafi dakwaan berlaku gelombang ketiga esok

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad menafikan dakwaan akan berlaku penyebaran COVID-19 gelombang ketiga pada esok (31 Mac).

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) menafikan dakwaan bahawa terlibat dengan hebahan risalah yang meminta sumbangan berhubung COVID-19. - Gambar Instagram @kkmm_gov | Astro Awani
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan akan berlaku penyebaran COVID-19 gelombang ketiga pada esok (31 Mac).

Sehubungan itu, kementerian itu juga menafikan ada mengeluarkan arahan menyeru orang ramai agar tidak keluar rumah pada musim hujan dan waktu senja kononnya virus itu mudah tersebar pada waktu-waktu tersebut.

KKM juga menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan pihak yang memohon bantuan peralatan perubatan dan makanan untuk kumpulan berisiko tinggi di Institut Medical Research (IMR) yang membuat saringan sampel COVID-19.

Selain itu, menerusi kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) menafikan dakwaan bahawa terlibat dengan hebahan risalah yang meminta sumbangan berhubung COVID-19.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) menafikan jabatannya bersama Hospital Tuanku Fauziah dan klinik-klinik kesihatan di negeri Perlis mempunyai kaitan dengan hebahan risalah oleh Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE) yang meminta sumbangan pakaian petugas barisan hadapan, alatan, makanan dan keperluan lain,” kata KKMM dalam kenyataan yang diedarkan pada Ahad.

.