COVID-19: Jumlah kes dalam negara kekal 22, 20 sudah pulih sepenuhnya

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah maklumkan kes COVID-19 dalam negara kekal pada angka 22, 20 daripadanya sudah pulih sepenuhnya.

NOOR HISHAM: 20 orang daripada jumlah itu telah pulih sepenuhnya dan telah dibenarkan keluar dari wad. - Astro AWANI | Astro Awani
Jumlah kumulatif kes positif penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia setakat hari ini kekal pada 22 kes.

Menurut kenyataan ringkas dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 20 orang daripada jumlah itu telah pulih sepenuhnya dan telah dibenarkan keluar dari wad. Baki dua orang lagi, iaitu kes ke-16 dan kes ke-22, masih dalam rawatan di wad dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, jumlah pesakit bawah siasatan (patient under investigation - PUI) yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat hari ini (Selasa) adalah 796 kes.

Saringan di pintu masuk antarabangsa negara tetap terus dipantau, di mana seramai 7,617,964 orang telah disaring dengan pengimbas suhu setakat 23 Februari 2020. Daripada jumlah itu, 27 daripadanya dirujuk ke hospital dan 2 disahkan positif COVID-19 iaitu kes ke-20 dan kes ke-22.

Kata Dr Noor Hisham lagi, pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian dalam negara juga melalui maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).