COVID-19: JAWI laksanakan akad nikah secara sidang video

Majlis pernikahan itu turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

JAWI membenarkan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan. - Gambar Facebook Zulkifli Mohamad | Astro Awani
Buat pertama kalinya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melakukan majlis akad nikah sepasang pengantin secara sidang video.

Majlis yang berlangsung pada pukul 10.10 pagi Sabtu itu melibatkan Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan pasangannya, Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29.

Muhammad Don Haadi berada di rumahnya di Setiawangsa ketika akad nikah itu manakala Nahdatul Aishah pula di Bandar Baru Wangsa Maju.

Majlis pernikahan itu turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Selain itu Zulkifli turut menyampaikan ucapan ringkas pada majlis tersebut.

Zulkifli berkongsi perjalanan majlis akad nikah itu di laman Facebooknya dan mengucapkan tahniah kepada JAWI atas usaha serta kejayaan membantu pasangan yang berkahwin itu.

Beliau berkata, usaha baik itu adalah bagi menangani dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Menurut Zulkifli, majlis seperti itu selaras dengan ketetapan dikeluarkan JAWI pada17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi kebenaran berkahwin.

JAWI membenarkan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Emeriah Arab Bersatu (UAE) merupakan antara negara yang melaksanakan majlis akad nikah secara sidang video ekoran COVID-19.