COVID-19: Benarkan majikan henti sementara caruman KWSP - MATTA

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Michael Tan Kok Liang juga meminta penangguhan cukai korporat dan individu untuk tahun penilaian 2019.

Tan berkata, pihaknya menjangkakan penurunan keuntungan hingga hampir 90 peratus untuk bulan ini, dan tahap keuntungan kosong peratus antara bulan April sehingga Mei. - Foto Facebook | Astro Awani
Kerajaan diminta menghentikan sementara sumbangan mandatori dari majikan sektor swasta untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Begitu juga dengan levi lain, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang diminta dihentikan sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.

Demikian dicadangkan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Michael Tan Kok Liang yang turut meminta kerajaan mempertimbangkan penangguhan cukai korporat dan individu untuk tahun penilaian 2019.

Beliau turut meminta kerajaan membantu sektor swasta membayar 60 peratus gaji atau maksimum RM4,000 kepada pekerja sektor pelancongan sehingga September 2020.

Ini, katanya, bagi mengelakkan pemberhentian beramai-ramai, susulan impak wabak COVID-19 ke atas perniagaan dalam negara ini.

“Jika bantuan ini tidak dilaksanakan secepat mungkin, isu pencairan (liquidity) akan memaksa perniagaan kecil dan sederhana (SME) dalam sektor pelancongan menghentikan operasi, dan akhirnya mengakibatkan sebilangan besar hilang pekerjaan.

“Industri pelancongan mempunyai tenaga kerja melebihi 3.5 juta (23.5 peratus dari jumlah keseluruhan tenaga kerja).

"Kami menjangkakan dua dari lima pekerja, atau 40 peratus, akan kehilangan pekerjaan. Ini akan mengakibatkan impak berterusan terhadap sektor lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata, pihaknya menjangkakan penurunan keuntungan hingga hampir 90 peratus untuk bulan ini, dan tahap keuntungan kosong peratus antara bulan April sehingga Mei.

“Kami sedar permintaan ini agak keterlaluan, tetapi kita kini berada dalam keadaan yang amat di luar jangkaan,” tambahnya.

Menurut Tan, apa yang perlu menjadi keutamaan kerajaan pada masa kini ialah melindungi pekerjaan.

Tegasnya, jika perniagaan tidak mendapat sebarang keuntungan, adalah mustahil untuk majikan terus mempunyai bilangan pekerja yang ramai.