COVID-19: 'Arahan perlu bergelang merah jambu, kami risau dikecam' - Penduduk

Sejak 18 Mac lalu, rakyat Malaysia telah melalui beberapa fasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Ahmad Nizam berkongsi pengalaman berada dalam kawasan PKPD (Pentadbiran). Foto Astro AWANI | Astro Awani
Sejak 18 Mac lalu, rakyat Malaysia telah melalui beberapa fasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Antara arahan yang dikeluarkan hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan bagi setiap isi rumah.

Bagaimanapun, wujud kekeliruan di kawasan PKPD (Pentadbiran) di Napoh, Kedah apabila semua penduduk di kawasan itu yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 diarahkan memakai gelang merah jambu ketika keluar rumah.

Ini bagi memastikan agar pihak berkuasa dapat mengenal pasti mereka sebagai individu dalam pengawasan (PUS).

Menurut Pengerusi Taman Sri Hosba, Napoh, Ahmad Nizam Mat Tahir, 49 tahun, arahan itu dianggap satu cabaran buat ketua keluarga yang bimbang akan disalah erti dan dikecam masyarakat.

"Masalah akan timbul apabila ketua keluarga mahu keluar membeli barangan basah, kalau barangan kering kita boleh beli dalam kuantiti banyak dan simpan atau boleh didapati dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

Jelasnya, lebih merumitkan apabila ketika masyarakat kini lebih peka dan sensitif apabila melihat individu memakai gelang berwarna merah jambu dan sering tular di laman sosial.

"Saya ada cakap dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kubang Pasu, minta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) salurkan kepada petugas di pusat kesihatan Napoh. Bagi saya, ketua keluarga terutamanya perlukan pertukaran gelang dari merah jambu ke putih," katanya.

Kawasan Napoh menjadi perhatian apabila wujud kluster Sivagangga sehubungan pemilik sebuah restoran nasi kandar dipercayai positif COVID-19 selepas pulang dari India.