COVID-19: 500 pemandu bas persiaran terjejas - Mahfuz

Pemandu tersebut tidak diberhentikan kerja tetapi telah tidak dibayar gaji oleh majikan mereka.

COVID-19: 500 pemandu bas persiaran terjejas - Mahfuz | Astro Awani
Lebih 500 pemandu bas persiaran di Malaysia terjejas akibat penularan wabak koronavirus COVID-19 sejak Januari lalu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, pemandu tersebut tidak diberhentikan kerja tetapi telah tidak dibayar gaji oleh majikan mereka.

"Mereka ini tidak diberhentikan, tetapi majikan tidak mampu membayar gaji mereka, kerana tiada operasi yang berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Hari Bertemu Pelanggan di Kementerian Sumber Manusia, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengakui terdapat kemerosotan dari segi ketibaan pelancong sejak penularan COVID-19 awal tahun ini.

Susulan itu, MOTAC mengambil langkah proaktif mempergiat usaha mempromosi sektor pelancongan negara, termasuk mengubah hala tuju dan promosi Tahun Melawat Malaysia.

BACA: Melaka ubah strategi pemasaran pelancongan, fokus kepada Asia Tenggara

BACA: COVID-19: Malaysia masih selamat untuk dikunjungi - TPM

Sementara itu, Mahfuz berkata, pihak kementeriannya akan cuba membantu pemandu-pemandu bas yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

"InsyaAllah, pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jobs Malaysia akan membantu mencari apa-apa peluang pekerjaan untuk mereka," katanya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

BACA: Pakej rangsangan ekonomi rancakkan pelancongan domestik - Azmin