COVID-19: 1 kes Kluster Bukit Tiram dikesan di Selangor - KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes pertama Kluster Bukit Tiram di luar negeri Johor, membabitkan seorang warga asing, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 10 kes yang dikesan positif, empat adalah bukan warganegara. | Astro Awani
KUALA LUMPUR :Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes pertama Kluster Bukit Tiram di luar negeri Johor, membabitkan seorang warga asing, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, individu yang disahkan positif di Selangor itu merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,893.

"Siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah, kes positif ke-8,893 itu didapati menginap di rumah warga asing berkenaan (yang kini menjadi kes ke-8,977) pada 16 Julai hingga 19 Julai lalu.

"Individu tersebut kemudian diperintah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

"Ujian saringan kali kedua yang dijalankan ke atas kes ke-8,977 yang mengalami gejala batuk dan sakit tekak mendapati dia positif COVID-19 dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Kluster Bukit Tiram dikesan berasal dari sebuah gereja roman Katolik dan aktiviti keagamaan di Johor.

Kluster itu dikenal pasti sebagai satu kumpulan sasar bagi pendekatan tertumpu jangkitan COVID-19 di Johor kerana turut membabitkan kes import dari Filipina.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 135 orang telah menjalani saringan.

"Daripada jumlah itu, 10 dikesan positif, 124 individu negatif manakala satu kes lagi masih menunggu keputusan," katanya

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada 10 kes yang dikesan positif, empat adalah bukan warganegara.