Chini Memilih: Masa depan Tasik Chini semakin muram?

Tasik Chini terkenal dengan lagenda naganya sejak dahulu lagi. Flora dan faunanya turut memukau setiap pelancong dalam dan luar negara.

Pokok teratai yang dulunya menjadi tarikan utama pelancong ke Tasik Chini kini semakin berkurangan. Astro Awani | Astro Awani
PEKAN :Tasik Chini terkenal dengan lagenda naganya sejak dahulu lagi. Flora dan faunanya turut memukau setiap pelancong dalam dan luar negara.

Seluas 5,085 hektar, Tasik Chini yang terbentuk daripada gabungan 12 tasik itu diwartakan sebagai Kawasan Terpelihara (Kawasan Warta) untuk kegunaan awam, khususnya bagi aktiviti pelancongan.

Di sebalik keunikan Tasik Chini, lain pula kisahnya ketika ini apabila tasik itu seakan-akan sepi tanpa pengunjung.

Tasik Chini terkenal dengan lagenda naganya sejak dahulu lagi. Flora dan faunanya turut memukau setiap pelancong dalam dan luar negara.

Malah, lautan pokok teratai yang memenuhi tasik yang diwartakan sebagai kawasan rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2009 itu seakan-akan hilang.

Astro Awani menyelusuri kisah Tasik Chini, kami bertolak dari jeti utama pada pagi Selasa untuk meninjau kawasan eko-pelancongan itu.

Hanya 10 minit menaiki bot, ternyata keadaan Tasik Chini tidak seperti dahulu.

Airnya tidak sejernih dahulu, warna coklat dan hitam di beberapa kawasan ternyata memberi gambaran bagaimana keadaan sebenar tasik kebanggaan rakyat di Chini itu.

HILANG PENDAPATAN SAMPINGAN

Kami bertemu masyarakat orang Asli di Kampung Tanjung Puput berhampiran tasik untuk mendapatkan reaksi mereka apa yang berlaku.

Bahrain Sunta, 66 tahun, merasakan perlu sesuatu tindakan diambil oleh pihak berwajib bagi menyelesaikan isu pencemaran tasik itu. 

Bahrain Sunta, 66, menunjukkan kraftangan 'anak perahu' yang sering dibeli oleh pelancong dalam dan luar negara sebelum ini. Gambar: Astro Awani

Jelasnya, jika dahulu, masyarakat orang Asli dapat menikmati manfaat apabila pelancong dalam dan luar negara menjadikan kampung mereka sebagai kawasan lawatan.

Namun kini, tiada seorang pelancong pun yang datang disebabkan ekosistem tasik itu didakwa terganggu.

"Dulu pelancong selalu datang. Kami buat kraftangan dari tahun 1990-an sampai tahun 2014, lepas itu pelancong berkurangan. Sebab apa? Pertama sekali, sebab bukit-bukit sudah gondol. Kedua, pokok teratai sudah habis.

"Kalau dulu, masa pelancongan, teratai penuh. Cuma ada laluan bot, di kiri dan kanan semuanya teratai, tetapi sekarang sudah tiada. Sebab pelancong berkurangan ialah kerana sudah tiada tarikan," katanya.

SPESIES IKAN DIKHUATIRI MULA PUPUS

Lebih menyedihkan, tasik yang menjadi punca air mereka kini tidak lagi selamat digunakan.

"Tasik ini kalau dahulu sangat berbeza. Dahulu, cantik tasik, airnya biru, tetapi sekarang ini, airnya ada yang warna hitam, ada juga yang airnya keroh, disebabkan oleh hakisan.

"Bila hakisan terjadi, perlombongan batu dan semua yang dijalankan di kawasan sekitar, ditambah pula dengan masalah empangan yang tertutup begitu sahaja, menyebabkan air tak jalan.

"Jadi, banyak merosakkan kehidupan dalam air, seperti ikan, banyak sudah pupus, contoh ikan jelawat, kelisa dan belida," ujarnya.

Pokok teratai yang dahulunya menjadi tarikan pelancongan semakin berkurangan di sekitar kawasan tasik Chini. Gambar: Astro Awani

Justeru, hanya satu permintaan mereka, agar pihak berwajib dapat menyelamatkan tasik itu daripada kerosakan termasuk tanaman semula kawasan yang diteroka sebelum ini,

Malah, kerja-kerja perlombongan di sekitar kawasan tasik itu, jelasnya, perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak memberi kesan kepada eko-sistem tasik itu.

"Pertama sekali bukit yang sudah digondolkan itu. Saya minta kerajaan tanam pokok semula. Tidak kira spesis meranti atau apa sahaja jenis pokok. Janji kerajaan baik pulih bukit yang tiada kayu itu.

"Kedua, kalau hendak tarik pelancong semula, kena tanam pokok teratai semula, dari benih tertentu. Di mana ada benih teratai, kerajaan kena ambil. Dan kami masyarakat orang Asli pun boleh membantu," kata Bahrain.