Cadangan tabika dan taska Kemas swasta untuk M40 - Abd Latiff

Sebanyak 11,430 tabika dan taska di bawah seliaan Kemas seluruh negara kembali beroperasi hari ini.

Abd Latiff beramah mesra bersama kanak kanak berikutan lawatan beliau ke Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya, Presint 11, Putrajaya, hari ini. Astro AWANI/SHAHIR OMAR | Astro Awani
PUTRAJAYA:Kerajaan akan mencadangkan pembukaan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) secara swasta untuk golongan M40. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada permintaan selain projek percubaan tabika serta taska Kemas berkenaan.

"Kita hendak buat secara private (swasta). Maknanya, mereka yang tidak layak (untuk menghantar anak ke tabika kemas), iaitu M40, apabila mereka memerlukan, kalau hantar anak ke pendidikan swasta, akan dicaj RM500 ke RM600 (sebulan).

"Jadi, kita tengok kepada permintaan dahulu," katanya semasa lawatan ke Taska dan Tabika Kemas Bunga Raya di sini, pada Rabu.

Golongan M40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan kurang RM100,000.

Pada masa kini, kadar sumbangan bulanan untuk taska adalah percuma untuk ibu bapa dan penjaga berpendapatan di bawah RM1,500, RM10 sehingga RM50 untuk yang berpendapatan RM1,501 sehingga RM2,999 dan RM51 sehingga RM100 untuk pendapatan RM3,000 ke atas.




Terdahulu, kata Abdul Latif, sebanyak 11,430 tabika dan taska di bawah seliaan Kemas seluruh negara kembali beroperasi hari ini.

Daripada keseluruhan jumlah itu 10,910 adalah tabika dan selebihnya taska.

Pembukaan semula itu membabitkan 220,000 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang belajar di tabika dan 9,500 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun di taska.

Jelasnya lagi, pihak pengurusan memainkan peranan utama memastikan pusat pendidikan itu bersedia, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak semasa waktu pembelajaran.

Antaranya, aspek jarak sosial, pergaulan murid serta kebersihan terutama membabitkan kanak-kanak yang sentiasa aktif dan gemar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.



Kata Abd Latiff lagi, kos lebih RM6 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja disinfeksi iaitu proses membasmi kuman di sekitar premis tabika seluruh negara.

Ia termasuk penyediaan termometer, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta semua peralatan berkenaan.

Selain itu, ujarnya, pihak Kemas juga telah menyediakan video simulasi proses pengoperasian pembukaan tabika dan taska sebagai rujukan kepada semua pemaju.

Ia telah dimuat naik ke dalam laman sesawang Kemas dan platform media sosial KemasOfficial pada 25 Jun lepas.