Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan kekurangan penyertaan pelabur

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan penyertaan pelabur selepas mencatatkan prestasi positif pada permulaan minggu semalam.

FBM KLCI mungkin mencatatkan pergerakan lebih baik didorong potensi pemulihan ekonomi yang membayangi insiden tunjuk perasaan di bandar-bandar AS. -BERNAMA | Astro Awani
Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa berikutan kekurangan penyertaan pelabur selepas mencatatkan prestasi positif pada permulaan minggu semalam, di tengah-tengah senario geopolitik global lebih baik, kenaikan harga minyak mentah serta perkembangan COVID-19 yang sedikit menggembirakan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.73 mata kepada 1,481.41 daripada 1,490.14 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 5.63 mata lebih rendah kepada 1,484.51.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 219 berbanding 165, sementara 266 kaunter tidak berubah, 1,218 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 627.26 juta unit bernilai RM330.03 juta.

Public Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikan berkata FBM KLCI mungkin mencatatkan pergerakan lebih baik didorong potensi pemulihan ekonomi yang membayangi insiden tunjuk perasaan di bandar-bandar AS sehingga menimbulkan kekacauan dan perintah berkurung.

Di peringkat rantau, semua indeks utama masih meneruskan prestasi meningkat yang direkodkan semalam, menjejaki kenaikan sederhana dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Sementara itu di peringkat tempatan, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan berkata ia akan memutuskan sama ada perlu untuk melonggarkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada minggu ini selain terus memantau rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Bagi saham berwajaran tinggi, Tenaga dan Public Bank masing-masing naik enam sen kepada RM11.96 dan RM14.64 manakala Petronas Chemicals meningkat 14 sen kepada RM6.32.

Maybank turun dua sen kepada RM7.46 dan IHH Healthcare kurang empat sen kepada RM5.52.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 54.4 mata pada 10,492.44, Indeks FBMT 100 susut 62.78 mata kepada 10,335.93, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 104.97 mata kepada 12,119.66, FBM 70 merosot 87.1 mata kepada 13,084.61 sementara FBM ACE naik 11.37 mata kepada 5,942.69.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.64 mata kepada 130.36, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.75 mata kepada 12,442.04 dan Indeks Perladangan meningkat 19.08 mata kepada 6,841.21.

- BERNAMA