Bunuh pengasuh: Kenalan lelaki direman

Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan pembunuhan pengasuh di Sungai Petani. Gambar fail. | Astro Awani
Polis menahan seorang lelaki berusia 58 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan ibu tunggal yang ditemui mati dalam keadaan tangan terikat dan mulut ditutup di Taman Sutera Idaman, pada Ahad.

Jurucakap polis berkata, suspek yang dikenal pasti sebagai kenalan rapat mangsa ditahan sepasukan polis pada jam 10.30 malam tadi di sekitar kawasan Sungai Petani.

Pagi tadi, suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Majistret Ariff Mohamad Shariff, kemudian membenarkan polis menahan reman suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Ahad, Haziah Yeap Osman, 58, yang juga pengasuh kanak-kanak, ditemui mati dalam keadaan tangan terikat dan mulut ditutup oleh seorang wanita yang ingin menghantar anaknya ke rumah mangsa.

Wanita terbabit memberi salam beberapa kali namun tidak disahut.

Dia kemudian terlihat pintu jeriji berkunci, namun pintu kaca di bahagian dalam terbuka dan segera menghubungi polis kerana mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku kepada mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata kedua-dua tangan mangsa diikat dari belakang dengan menggunakan wayar pengecas telefon manakala mulutnya turut diikat menggunakan kain tudung.

BACA: Pengasuh mati diikat tangan, mulut ditutup