Bukan sahaja artis, mufti juga jadi mangsa

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berdepan masalah penyalahgunaan akaun palsu di laman Instagram.

Terdapat satu akaun Instagram palsu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menggunakan nama 'zulkifpetek' serta gambar-gambarnya. - BERNAMA/Fail | Astro Awani
Isu penyalahgunaan akaun palsu di laman media sosial bukan perkara yang luar biasa bagi golongan artis dan selebriti.

Namun kini, bukan sahaja mereka yang terkesan dengan isu tersebut, malah mufti juga tidak terkecuali menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambar mereka.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempunyai satu akaun Instagram palsu yang menggunakan nama 'zulkifpetek' serta gambar-gambarnya.

"Kami dapat mengesan satu akaun Instagram palsu @zulkifpetek yang dibuat empat minit lalu dan menggunakan gambar-gambar Datuk Mufti. Sila berhati-hati," menurut pengendali akaun rasmi Instagram Zulkifli pada Isnin malam.

[ADMIN] Kami dapat mengesan satu akaun Instagram palsu @zulkifpetek yang dibuat 4 minit lalu dan menggunakan gambarĀ² S.S. Datuk Mufti. Sila berhati-hati.

A post shared by Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri (@drzulkifli.albakri) on


Rata-rata netizen memberi komen negatif dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak beradab.

"Mufti pun sanggup dianiaya, apa lah nak jadi sekarang ni," kata salah seorang pengikut Zulkifli, @Itaarshad di ruangan komen.

"Dah delete agaknya, saya doakan moga Allah kurniakan kesihatan yang baik pada Dr dan perjalanan dakwah Dr sentiasa dalam lindungan Allah, Amin," kata seorang lagi pengikut, @Rashidahsupian.

Susulan itu, akaun tersebut yang sudah mempunyai sembilan gambar dan dua orang pengikut berkenaan telah dipadamkan.