Bom tangan dan ratusan peluru dalam stor pili bomba mungkin untuk tujuan jenayah - Polis

Polis tidak menolak kemungkinan dua butir bom tangan dan 689 butir peluru yang ditemui di dalam stor pili bomba digunakan untuk kegiatan jenayah.

snin lalu, polis menjumpai bahan letupan dan ratusan peluru disimpan di dalam setor di tingkat 15 pangsapuri Sinar Bukit Dumbar. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
Polis tidak menolak kemungkinan dua butir bom tangan dan 689 butir peluru yang ditemui di dalam sebuah stor pili bomba di sebuah pangsapuri dekat Jelutong, Pulau Pinang Isnin lalu digunakan untuk kegiatan jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Maidu Abu Bakar, berkata setakat ini, pihaknya tidak menemui sebarang kaitan antara penemuan bahan letupan itu dengan kegiatan dadah namun, menyerahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek yang ditahan sebelum itu adalah dalang bagi satu kumpulan dadah justeru, dengan tertangkapnya lelaki berkenaan pihaknya percaya dapat melumpuhkan sepenuhnya kumpulan itu.

Menurut Maidu, suspek ditahan pada 1 Oktober tahun lepas dan turut ditemui bersamanya adalah 20 kilogram (kg) syabu beserta sepucuk pistol.

"Itu adalah kes tahun lepas, bulan Oktober tahun lepas, dari situ kita dapat pistol. Maka rampasan terbaharu adalah kesinambungan dari kes itu. Kes masih diteruskan siasatan. Kami tangkap itu adalah kepala (ketua), benda itu disimpan siapa, tengok pun tidak perasan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Stor Berpusat Kontinjen (BSK) Pulau Pinang, Kepala Batas Pulau Pinang pada Khamis.

BACA: Dua butir bom, lebih 600 peluru ditemui dalam stor pili bomba

Majlis berkenaan turut dihadiri Pemangku Ketua Penolong Pengarah Pelucuthakan Harta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Assten Komisioner Dalbir Singh Tanah Singh.

Isnin lalu, polis menjumpai bahan letupan dan ratusan peluru disimpan di dalam stor di tingkat 15 pangsapuri Sinar Bukit Dumbar, susulan penahanan seorang lelaki berusia 54 tahun, yang kini masih dalam tahanan reman sementara menanti perbicaraan bagi kes dadah.