Bekas penasihat media Najib didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta

SPRM membawa kes itu secara in absentia bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki warga Britain itu yang dikatakan telah melarikan diri dari Malaysia selepas kekalahan Najib pada PRU14 lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. | Astro Awani
Bekas penasihat media Datuk Seri Najib Razak, Paul Stadlen hari ini didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran) di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa kes itu secara in absentia bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki warga Britain itu yang dikatakan telah melarikan diri dari Malaysia selepas kekalahan bekas Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Stadlen didakwa telah mengarahkan pembayaran melalui 27 transaksi membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM8,111,322.43 dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan Aisha Mubarak kepada beberapa individu dan syarikat di antara Jun hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh mengarahkan pembayaran melalui 16 transaksi hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM6, 139,078.34 dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat di antara Januari hingga Ogos 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA