Bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dalam kereta

Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dalam sebuah kereta di Ipoh pada Isnin.

Mohd. Safize A. Azizi, 34, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam sekitar 8.30 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis. - Foto ihsan PDRM | Astro Awani
Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza di Jalan Lee Kwee Foh berhampiran padang Taman Canning di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, Mohd. Safize A. Azizi, 34, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam sekitar 8.30 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa yang hanya berseluar pendek, terbaring di bahagian penumpang hadapan dengan enjin kenderaan yang telah dimatikan.

"Ketika dijumpai, hidung mangsa berdarah namun tiada kesan luka atau lebam ditemui pada mayat itu.

"Pemeriksaan dalam kereta tersebut menjumpai beg yang mengandungi barangan peribadi mangsa termasuk kad pengenalan, kad kuasa dan wang tunai," katanya di sini.

A. Asmadi berkata, semakan butiran lelaki itu mendapati dia telah ditamatkan perkhidmatan di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 22 November 2017 dan perkhidmatan terakhirnya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Baru, Selangor.

Menurutnya, pihak polis dimaklumkan bahawa kali terakhir keluarga lelaki itu berjumpa dengannya adalah pada Jumaat lalu.

Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.