Bayi 20 bulan dipukul beramai-ramai hingga mati akibat cemburu

Angkara cemburukan teman lelaki yang jatuh cinta dengan rakan sendiri, seorang bayi lelaki berusia 20 bulan menjadi mangsa dibelasah sehingga maut.

Ketika kejadian, mangsa dijaga oleh suspek dan beberapa rakannya yang lain di Taman Hatib, Semporna. | Astro Awani
Angkara cemburukan teman lelaki yang jatuh cinta dengan rakan sendiri, seorang bayi lelaki berusia 20 bulan menjadi mangsa dibelasah sehingga maut.

Suspek yang juga warga asing berusia 19 tahun, dikatakan turut mengajak rakannya, untuk bersama membelasah bayi berkenaan dan ditemui oleh ibunya dalam keadaan lemah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ketika kejadian, mangsa dijaga oleh suspek dan beberapa rakannya yang lain di Taman Hatib, Semporna.

"Punca kejadian salah seorang daripada suspek, kerana teman lelaki suspek ini berpaling tadah dan menyukai ibu mangsa, cemburu.

"Manakala salah satu lagi suspek yang memukul mangsa tadi itu sering kali dimarah oleh ibu mangsa dan menyebabkan dua suspek ini melepas geram terhadap mangsa," katanya.

Ibu mangsa, 23 tahun, ketika itu mengharapkan suspek bagi menjaga anaknya di lokasi kejadian kerana keluar untuk membeli susu dan makanan.

Susulan laporan diterima dari ibu mangsa, polis menahan kesemua suspek yang merupakan empat remaja warga asing berusia 16 hingga 19 tahun di Kampung Egeng-Egeng, pada hari yang sama.

"... Salah seorang daripada suspek telah menampar mangsa, kemudian melempar mangsa ke tilam, menarik mangsa sehingga muka mangsa terkena besi tilam, kemudian membungkus mangsa dengan selimut tilam lebih kurang lima minit,” kata Omar lagi.

Kesemua suspek kini direman sehingga 27 September depan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.