Bas terjunam dalam longkang: 12 maut, 32 cedera

Mangsa, pekerja Mutiara Kayama Sdn Bhd, syarikat penyedia pekerja warga asing sepatutnya memulakan syif tengah malam di MASKargo, apabila bas tersebut tergelincir dan terjunam ke dalam longkang.

Salah seorang mangsa kemalangan yang cedera keluar dari wad kecemasan Hospital Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA | Astro Awani
Apa yang kebiasaannya merupakan perjalanan rutin ke tempat kerja, menjadi perjalanan terakhir kepada 12 orang termasuk 11 pekerja warga asing apabila bas yang mereka naiki terjunam sedalam empat meter ke dalam longkang, lewat malam tadi berhampiran Kompleks MASKargo di Sepang.

Mangsa, pekerja syarikat Mutiara Kayama Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia pekerja warga asing sepatutnya memulakan syif tengah malam di MASKargo, apabila bas tersebut tergelincir dan terjunam ke dalam longkang, yang turut mencederakan 32 penumpang lain termasuk 10 yang kini kritikal.

Mereka yang maut dalam kejadian pada 11.10 malam itu ialah pemandu bas S. Suresh, 43, dan 10 pekerja rakyat asing termasuk empat wanita rakyat Indonesia, Bangladesh dan Nepal.

Pekerja asing yang maut dikenali sebagai Jagarnath Singh Danuwar, 31, (Nepal); Md Razib Munsi, 26, (Bangladesh); Md Sohel, 24, (Bangladesh); Ramu Chaudhary, 37, (Nepal); Mohin, 37, (Bangladesh); Al Amin, 25, (Bangladesh); Golam Mostafa, 22, (Bangladesh).

Kesemua wanita yang maut adalah rakyat Indonesia iaitu Ayu, 22; Azura Afrianti, 22; Rosvita Loka Harahap, 23; dan Fitri Nurjahari, 21.

BACA: Tiada kesan brek di lokasi kemalangan bas pekerja - Polis

Pihak kedutaan terbabit telah dihubungi untuk urusan pengendalian jenazah warga masing-masing.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamshah berkata sembilan mati di tempat kejadian, manakala dua lagi, masing-masing seorang di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.



Siasatan awal polis mendapati bas pekerja yang membawa 43 penumpang iaitu pekerja kontrak MASKargo itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

"Kawasan itu bukan kawasan bahaya dan ini pertama kali kawasan itu terlibat dengan kemalangan maut...cuaca juga baik malam tadi," katanya.

BACA: 11 maut bas pekerja terbabas di Sepang

Bas yang membawa 43 penumpang itu dilapor terjatuh kira-kira empat meter ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman 20 meter dan kesemua mangsa terperangkap di dalam bas dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata seramai 37 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang terlibat membantu menyelamatkan mangsa di lokasi kejadian.



Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata 14 lagi mangsa dalam keadaan separa kritikal, manakala lapan lagi tidak kritikal.

"Mangsa-mangsa kemalangan telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang," katanya.

Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya (PKPK) sejurus menerima panggilan pada 11.16 malam, telah menyelaraskan pasukan respon di mana Klinik Kesihatan Salak merupakan pasukan pertama yang diaktifkan untuk memberi bantuan ke tempat kejadian, dan diikuti pasukan respon daripada fasiliti berdekatan, katanya.

-- BERNAMA