Awang Tengah diarah jalani kuarantin di rumah

Arahan dikeluarkan JKN Sarawak setelah salah seorang wakil dalam mesyuarat dipengerusikan beliau dua hari lepas disahkan positif COVID-19.

Awang Tengah diminta untuk menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi standard operasi (SOP) untuk menangani COVID-19 setelah salah seorang wakil dalam mesyuarat yang dipengerusikan beliau disahkan positif virus berkenaan. - Gambar fail | Astro Awani
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diminta untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula hari ini setelah salah seorang wakil dalam mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Makanan yang dipengerusikan beliau pada Selasa disahkan positif COVID-19.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, arahan kuarantin telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kepada Awang Tengah sebagai langkah untuk mematuhi standard operasi (SOP) untuk menangani kes COVID-19.

Tambahnya, pada sidang media JPBN Sarawak hari ini di Wisma Bapa Malaysia, ia tidak bermakna Awang Tengah telah dijangkiti virus berkenaan.

“Belum kena, itu syarat sekiranya anda ada berada berdekatan atau ada bertemu secara kasual dalam sesuatu mesyuarat dan ada kes positif, kesemua yang berada dalam mesyuarat itu perlu melakukan kuarantin.

"Tujuannya untuk melihat keadaan (mereka) dalam masa 14 hari sama ada virus tersebut telah tersebar kerana mengikut pemerhatian, COVID-19 ini mudah merebak. Jadi anda perlu melakukan penjarakan sosial antara satu sama lain,” katanya.

Menerusi makluman Setiausaha Akhbar beliau di laman Facebook, keadaan Awang Tengah dilaporkan sihat.

Selain beliau, kesemua ahli mesyuarat juga dikehendaki melakukan kuarantin yang sama seperti diarah JKN Sarawak.

Dalam masa sama, usaha pengurusan bekalan makanan di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu akan diselia melalui capaian telefon bagi memastikan operasi dan pengurusan tersebut terkawal dan berjalan dengan lancar.