ASUM timbang panggil Jun Hoong kembali jalani proses pemilihan ke Piala Dunia 2020

Jun Hoong sebelum ini, terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut dan tidak menyertai sebarang pertandingan sejak Mei tahun lepas.

ASUM timbang panggil Jun Hoong kembali jalani proses pemilihan ke Piala Dunia 2020 | Astro Awani
Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sedang mempertimbangkan kemungkinan memanggil ratu terjun negara Cheong Jun Hoong kembali ke tanah air bagi menyertai proses pemilihan ke Kejohanan Terjun Piala Dunia 2020 di Tokyo, Jepun dari 21 hingga 26 Apr depan.

Jun Hoong sebelum ini, terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut dan tidak menyertai sebarang pertandingan sejak Mei tahun lepas.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen berkata ketika ini, Juara Dunia 2017 dalam acara 10m platform itu sedang mengikuti program latihan khas bersama bekas jurulatihnya Yang Zhuliang, di China.

Katanya, penerjun berusia 29 tahun itu akan menjalani ujian saringan menyeluruh jika Jun Hoong mahu kembali ke tanah air untuk menyertai proses pemilihan yang akan diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, pada Mac atau awal April.

"Buat masa ini, kita masih menunggu pengesahan daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) berhubung penganjuran Piala Dunia di Jepun, dan berharap ia dilangsungkan seperti biasa (walaupun berlaku penularan wabak COVID-19)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat post mortem Sukan SEA Filipina 2019, di sini pada Jumaat.

Menurut laporan berita antarabangsa, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Selasa, menyeru agar acara sukan dan kebudayaan negara itu dibatalkan atau ditangguhkan untuk tempoh dua minggu susulan penularan wabak COVID-19 yang turut menimbulkan tanda-tanya mengenai nasib penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai nanti.

Lima penerjun negara yang menjalani latihan di Chengdu, China iaitu Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng, Kimberly Bong dan Enrique Harold bersama jurulatih Li Rui dan Li Teng kembali ke tanah air pada 31 Jan lepas.

-- BERNAMA