Astro sahkan seorang pekerja positif COVID-19

Pekerja itu kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Selain itu, kakitangan Astro di ibu pejabat itu turut dipecahkan kepada beberapa kumpulan termasuk diarahkan bekerja dari rumah. | Astro Awani
Astro Malaysia hari ini mengesahkan seorang kakitangan mereka disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian pengesanan pandemik tersebut.

Jurucakap Astro dalam satu kenyataan memaklumkan pekerja yang bertugas dalam pasukan pengangkutan jurutera siaran luar di ibu pejabat di Bukit Jalil disahkan positif pada 5 April.

Pekerja itu kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Pihak Astro turut menegaskan tiada gangguan dalam mana-mana operasi penyiaran dan pelanggan boleh menikmati perkhidmatan seperti biasa.

Syarikat itu juga sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat yang berhubung dengan pekerja berkenaan.

Tegas syarikat penyiaran itu, kesihatan dan keselamatan pekerja sentiasa menjadi keutamaan syarikat tersebut.

"Astro komited dengan langkah-langkah keselamatan di pejabat untuk memastikan pekerja kami selamat.

"Langkah tersebut termasuk peningkatan kekerapan dan tahap pembersihan pejabat, menyediakan bahan pembasmi kuman, mengalakkan penjarakan sosial di kafe dan dalam lif, mengambil suhu pekerja ketika memasuki premis dan membatalkan rancangan siaran langsung," demikian kata Astro.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Astro turut mengambil langkah proaktif dengan menutup sementara pusat penyiaran di Bukit Jalil bagi tujuan kerja sanitasi (pembersihan) atau nyah kuman.



Sebelum ini, kakitangan Astro di ibu pejabat itu telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan termasuk diarahkan bekerja dari rumah.