Anggota polis URB maut, terbabit dalam nahas jalan raya

Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim maut, selepas gagal mengelak lalu merempuh sebuah van di Jalan Tunku Putra, Kulim, pada Selasa.

KULIM:Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim maut, selepas gagal mengelak lalu merempuh sebuah van di Jalan Tunku Putra, Kulim, pada Selasa.

Dalam kejadian kira kira 3.40 petang itu, mangsa, Lans Koperal Muhammad Zarith Mat Rizan, 27 tahun maut ditempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitenden Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, anggota polis URB terbabit yang dalam tugasannya sedang menunggang motosikal URB dari arah Jalan Kelang Lama menuju ke pekan Kulim.

Setibanya di lokasi, van tersebut yang datang dari arah bertentangan membelok ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan anggota polis tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh van berkenaan.

Mangsa yang parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Kurungan 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.