Ancaman tanah runtuh, 40 penghuni Taman Kelab Ukay diarah tinggalkan kediaman

Kira-kira 40 penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa diarah meninggalkan kediaman susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat.

Keadaan belakang rumah yang diancam tanah runtuh melibatkan tujuh kediaman di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay. -Astro AWANI | Astro Awani
Kira-kira 40 penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa dekat Ampang diarah meninggalkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan.

Tindakan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima laporan kejadian pada jam 2.21 pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, pihaknya kemudian mengerahkan sebuah jentera dengan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dihantar ke lokasi untuk membuat pemantauan.

Beliau berkata 40 penghuni di tujuh rumah diarah meninggalkan kediaman masing-masing kerana bimbang keselamatan mereka.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah kerana hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

"Buat masa ini semua penghuni tidak dibenarkan berada di kediaman sehingga pihak kerajaan tempatan memutuskan tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Setakat ini, pelbagai agensi mula melakukan tinjauan dan pemantauan di kawasan itu dan dijangka kerja pemulihan akan segera dilaksanakan.