Anak terkilan tidak dapat jumpa ayah di hari raya

Firdaus Nordin sedih kerana tidak dapat berbual dan bertemu dengan ayahnya di pagi raya.

Rozaina Shafie yang ditemani anaknya, Firdaus Nordin menunjukkan gambar arwah suaminya, Nordin Saad yang disimpan di dalam telefon bimbit.  - Gambar Astro AWANI | Astro Awani
Hati anak mana yang tidak pilu apabila menerima khabar duka kehilangan ayahnya, apa lagi berita itu diterima ketika umat Islam masih lagi menyambut kedatangan Aidilfitri.

Kedukaan juga tentu tambah berganda buat si anak apabila tidak berkesempatan mencium tangan dan menyambut hari raya kerana terpaksa bertugas di perantauan.

Kerana itu, hanya air mata saja yang dapat menterjemahkan rasa terkilan dan sedih Firdaus Nordin, 25, yang juga anak sulung Nordin Saad, 52, nelayan yang ditemui lemas kira-kira dua batu nautika dari muara Kuala Kedah tengah hari Sabtu.

Menurut Firdaus, sejak hari raya pertama lagi, dia merindui dan teringatkan Allahyarham bapanya, namun disebabkan terpaksa bertugas di hari raya, kerinduan itu hanya mampu dipendamnya.

"Sejak hari raya pertama saya rindu dan teringatkan arwah ayah tetapi tak dapat bercuti kerana bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain tidak dibenarkan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Semalam masa bertugas pun saya tengok gambar ayah yang disimpan dalam telefon bimbit terasa sayu sangat-sangat sebelum ibu hubungi saya memaklumkan ayah hilang di laut ketika menangkap ikan," katanya ketika ditemui.



Firdaus yang juga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) di KLIA, Sepang, Selangor berkata, kesibukan dengan tuasgnya menyebabkan tidak sempat menghubungi bapanya pada hari pertama Aidilfitri.

Kata Firdaus, dia amat terkilan kerana langsung tidak berkesempatan menghubungi ayahnya sehinggalah dimaklumkan oleh ibunya berita mengenai kehilangan ayahnya di laut.

"(Saya) redha (kehilangan ayah) dan tahu sangat macam mana nasib kalau jatuh laut sebab ada kawan yang juga pernah jatuh laut. (Sebenarnya) dari hari raya pertama lagi rasa (perasaan) tak sedap hati," kata Firdaus.

Firdaus turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi penyelamat sejak pagi tadi sehingga mayat ayah ditemui.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya pada awal tahun ini ketika pulang ke kampung sebelum penularan wabak COVID-19.

Katanya, mereka sekeluarga redha dengan pemergian mangsa walaupun masih dalam suasana hari raya.

Jenazah Allahyarham Nordin akan dikebumikan kampung ibunya di Felda Mata Ayer, Padang Besar, Perlis.

Sementara itu, isteri mangsa, Rozaina Shafie, 46, berkata, dia ada melarang suaminya turun ke laut semalam tetapi arwah memberitahu rakan-rakannya turun ke laut dan mendapat banyak hasil tangkapan ikan.

Menurut Rozaina, itu merupakan kali pertama suaminya turun ke laut sendirian menaiki bot fiber miliknya selepas tiga bulan tidak keluar menangkap ikan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

BACA: Bot berpusing tanpa pemandu ditemui nelayan

Dalam kejadian semalam, seorang nelayan dilaporkan hilang apabila bot fiber yang dinaikinya ditemui tanpa pengemudi berpusing di muara Kuala Kedah.

Berikutan itu, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) melancarkan operasi dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Jabatan Laut Kuala Kedah.

Bagaimanapun mayat Nordin ditemui terapung kira-kira dua batu nautika dari lokasi mangsa terjatuh di muara Kuala Kedah.

BACA: Mayat nelayan mati lemas ditemui