Alhamdulillah ... majlis kahwin dibenarkan mulai 1 Julai

Kapasiti tetamu yang hadir adalah tidak melebihi 250 orang bergantung kepada saiz tempat majlis tersebut diadakan.

Ismail Sabri berkata penganjuran majlis sosial tersebut perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam sahaja. - Foto Hadi Nor | Astro Awani
Kerajaan pada Rabu mengumumkan untuk membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penganjuran majlis sosial tersebut perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam sahaja.

Selain itu, jelas beliau kapasiti tetamu yang hadir adalah tidak melebihi 250 orang bergantung kepada saiz tempat majlis tersebut diadakan.

"Majlis sosial ini merangkumi kenduri, majlis perkahwinan, ulang tahun perkahwinan, majlis keagamaan seperti tahlil, aqiqah, dan doa selamat, majlis-majlis seperti reunion, hari jadi dan lain-lain," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun tegas Ismail Sabri, penjarakan sosial sepanjang majlis tersebut berlangsung perlu diamalkan, termasuk memastikan kapasiti di dalam ruang tersebut.

Katanya, jika kawasan tersebut tidak boleh memuatkan 250 tetamu, ia perlu dihadkan antara 100 hingga 150 orang dalam kawasan tersebut (mengikut saiz kawasan).


Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata setakat ini kerajaan pada dasar membenarkan penganjur menyediakan hidangan bufet pada majlis sosial.

Walau bagaimanapun, ia perlu dihidangkan oleh pramusaji sepanjang majlis tersebut berlangsung.

"Jadi, tetamu tidak boleh mengambil makanan sendiri, namun cara terbaik adalah secara hidangan. Antara prosedur operasi standard (SOP) adalah perlu membuat saringan di pintu masuk, memeriksa suhu badan, dan tidak membenarkan mereka yang bergejala hadir.

"Penganjur dan tetamu digalakkan memakai pelitup muka dan penganjur mesti mendaftarkan tetamu dengan aplikasi MySejahtera atau direkod secara manual," katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan menasihati mana-mana penganjur yang sukar untuk mematuhi SOP yang ditetatkan supaya tidak meneruskan panganjuran tersebut.

"Ini kerana seperti saya sebutkan kerana pihak PDRM masih mematuhi SOP dan kalau tidak mampu, jangan laksanakan," katanya lagi.